Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan dan Ekonomi
REPUBLIK FILIPINA, Jumaat, 8 Mei. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN Ke-27 (27th AECC) yang diadakan kelmarin di Cebu City, Republik Filipina.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha Perdagangan dan Industri, Republik Filipina, Puan Yang Terutama Ma. Cristina Aldeguer-Roque, dan dihadiri oleh Menteri-menteri AEC dari 11 Negara Anggota ASEAN serta Timbalan Setiausaha Agung (AEC), Sekretariat ASEAN.
Mesyuarat ini memberikan peluang yang tepat bagi menteri-menteri ekonomi untuk bertukar pandangan mengenai usaha kolektif ASEAN dalam memperkukuh agenda integrasi ekonomi rantau ini serta memajukan inisiatif moden dan berpandangan ke hadapan, selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Para menteri bersetuju bahawa komitmen berterusan daripada semua Negara Anggota ASEAN adalah penting, terutamanya ketika rantau ini menangani gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh Krisis Timur Tengah.
Sehubungan itu, para menteri membincangkan Hasil Ekonomi Keutamaan Republik Filipina bagi tahun 2026, agenda kemampanan dan transformasi digital ASEAN, terutamanya penyelesaian rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) pada tahun ini.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II menekankan keperluan bagi ASEAN untuk kekal dinamik dan memanfaatkan krisis ini bagi menilai serta memberi keutamaan kepada inisiatif yang berimpak tinggi bagi memastikan daya tahan dan kesiapsiagaan ASEAN dalam menghadapi sebarang krisis pada masa hadapan.
Antara lain, terang Yang Berhormat lagi, ini termasuklah memperteguh komitmen untuk meningkatkan aliran perdagangan intra-ASEAN; mengurangkan halangan perdagangan; memudahkan perdagangan melalui pendigitalan; serta memastikan integrasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam rantaian bekalan serantau.
Sehubungan dengan ini, Yang Berhormat mengalu-alukan kemajuan baik dalam rundingan DEFA dan menegaskan semula komitmen Brunei Darussalam untuk memastikan penguatkuasaan awal Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Dr. Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin, serta pegawai-pegawai dari Bahagian Perdagangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Mesyuarat 27th AECC ini didahului oleh Mesyuarat Persediaan Pegawai-pegawai Kanan Ekonomi (Prep-SEOM) pada 6 Mei 2026.